Kelantan kena beri penjelasan
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
30/4/2010
Rakyat perlu tahu sumber RM4j untuk biayai perang saraf lemahkan BN
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan perlu memberi penjelasan terhadap dakwaan penulis blog, Kickdefella yang mengakui menerima peruntukan lebih RM4 juta sepanjang tiga tahun untuk memburukkan imej dan melemahkan kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di samping memastikan Pas kekal berkuasa di negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, turut mencabar kerajaan Pas mendedahkan sumber kewangan yang disalurkan kepada Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz untuk melaksanakan gerakan tersusun memburukkan Kerajaan Pusat. Beliau yang menyifatkan dakwaan penulis blog berkenaan sebagai serius turut menggesa kerajaan Kelantan segera menghentikan gerakan memburukkan Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pusat semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Kita mahu kerajaan negeri memberi penerangan kepada rakyat Kelantan di mana RM4 juta ini (diperoleh), adakah wang rakyat digunakan untuk menjatuhkan imej Kerajaan Pusat ataupun wang balak, wang individu atau derma (hasil pemberian balak kepada syarikat).
“Ini bukan RM1,000 atau RM2,000 tetapi RM4 juta, jadi rakyat berhak tahu dari mana sumber ini diperoleh untuk membiayai gerakan ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kelantan di sini, semalam.
Pada majlis itu, 1,194 peserta ditauliahkan terdiri daripada pengerusi dan setiausaha JKKKP membabitkan 14 kawasan Parlimen.
Semalam, akhbar melaporkan Kickdefella mengakui menerima peruntukan lebih RM4 juta dalam tiga tahun bertujuan mewujudkan persepsi buruk bagi melemahkan pentadbiran Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri dan memastikan Pas kekal berkuasa di Kelantan.
Kickdefella dilaporkan membuat dakwaan berkenaan di blognya selepas beberapa pihak termasuk Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri mengecam dan mempertikaikan sumbangannya terhadap parti.
Mustapa juga berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan Kickdefella itu.
Sementara itu, Ahmad Fadhli mendakwa tidak tahu mengenai peruntukan RM4 juta seperti didakwa penulis blog, Kickdefella.
Beliau yang namanya turut dikaitkan dalam blog Kicdefella itu bagaimanapun berkata, akan membawa perkara itu untuk dibincangkan pada peringkat kepemimpinan parti
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan